Friday, 16 November 2012

Salam sejahtera,Contoh latihan.


Tulis beberapa nilai murni/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Apabila  balik  dari  sekolah,  Liza  mengeluarkan buku-buku barunya  dari  beg.  Kakaknya  berkata, “Biar kak tolong kamu balut buku-buku kamu itu.” Liza menjawab, “Terima kasih, kak. Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini.”

Liza  merupakan  anak   yang  suka  menolong  ibu  dan  ahli keluarganya  yang  lain.  Liza  selalu  menolong  ibunya   mencuci pinggan  mangkuk,  melipat kain dan mengemas rumah. Liza juga membantu ayahnya mencuci kereta.

Setiap pagi sebelum mandi , dia akan mengemas bilik tidurnya supaya    kelihatan    kemas   dan   bersih.  Dia   sentiasa   menjaga kebersihan diri. Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaiannya.

Pada hari minggu, Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.



Salam sejahtera,
Hari ini saya ingin berkongsi langkah-langkah membina ulasan

Kertas Dua Bahagian C

Panduan Menjawab Bahan Rangsangan Bahagian C

Pengenalan
Calon diminta untuk membuat rumusan berdasarkan bahan yang diberikan dalam bahagian ini. Calon ada diberikan rangsangan atau situasi dalam bentuk petikan, puisi, rencana dan sebagainya. Calon diminta untuk membuat rumusan dalam lingkungan 50 perkataan.

Perkara yang perlu dicari daripada petikan ialah seperti Nilai Murni, Amalan Baik, Faedah dan juga Pengajaran daripada rangsangan atau situasi yang diberikan tadi.

  Langkah-langkah yang dicadangkan ialah:

  1.  Baca dan fahami kehendak atau arahan soalan
       -  Baca soalan dengan teliti dan fahami arahannya.
       -  Arahan meminta anda menulis beberapa nilai atau pengajaran
          berdasarkan petikan yang diberi.
       -  Jawapan itu hendaklah ditulis dalam satu perenggan.

  2.  Mencatat nilai murni atau pengajaran
       -  Baca dan fahami kandungan petikan.
       -  Catat seberapa banyak nilai murni / pengajaran yang terdapat   
          dalam petikan.
       -  Dicadangkan anda mencari dan mencatat sekurang-kurangnya
          lima nilai
          murni / pengajaran.
       -  Masa yang dicadangkan untuk mencari dan mencatat nilai murni   
          ini sekitar lima minit.



  3.  Menulis ayat lengkap
       -  Berdasarkan nilai murni / pengajaran, tulis dan nyatakan      
          keterangan lanjut tentang nilai murni / pengajaran dengan
          menggunakan ayat sendiri.
       -  Sebaiknya setiap nilai murni / pengajaran itu disertakan contoh.
       -  Hendaklah ditulis dalam satu perenggan.
       -  Masa yang dicadangkan untuk mengarang ialah 10 minit.

  4.  Menyemak
       -  Setelah siap, baca dan pastikan ayat yang digunakan lengkap 
         dan mengikut strukturnya.
       -  Semak juga aspek tatabahasanya.
       -  Masa yang dicadangkan untuk menyemak ialah 5 minit

Tuesday, 6 November 2012

Selamat Datang

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmatNya, dapat jua saya mewujudkan blog rasmi yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan, dengan kewujudan blog ini, dapat kita sama-sama berkongsi ilmu, pandangan dan pendapat berkaitan Bahasa Melayu tahun 5 ini. Terima kasih di atas sokongan dan bimbangan dari semua pihak sama ada secara langsung atau tidak. Moga Allah merahmati kehidupan kita seharian. Amin.